Wednesday 3 November 2021

APA YANG ANDA PERLU TAHU SEBELUM MEMBELI PERIUK PUTU PIRING

 Assalamualaikum W.B.T.

Hari ini saya ingin menulis mengenai peralatan utama untuk memulakan perniagaan putu piring iaitu Periuk putu piring. Sebelum memulakan perniagaan kebanyakan usahawan baru pasti akan mengalami masalah untuk mencari periuk yang sesuai memandangkan terdapat pelbagai jenis, bentuk, dan saiz periuk yang dijual di pasaran. diharap penulisan ini dapat membantu usahawan baru untuk mendapat info dan gambaran sebelum membuat pembelian. 

**Penulisan ini berdasarkan pendapat dan pengalaman saya sendiri sebagai usahawan putu piring, tiada masalah jika anda tidak bersependapat.


1. BENTUK PERIUK

Secara lazimnya periuk putu piring ada 2 bentuk, iaitu BULAT dan PETAK. 

  

Sebagai peniaga, saya lebih cenderung menggunakan periuk petak kerana kedudukan corong yang selari memudahkan untuk saya meletak dan mengangkat kuih dari periuk. Ketika meletak kuih untuk dimasak, saya akan menyusun kuih secara selari dari baris bawah hingga baris paling atas. Ini memudahkan saya untuk mementukan giliran kuih untuk diangkat apabila kuih sudah masak dan mengurangkan risiko tangan terkena wap panas(cara memasak putu/teknik/dan tips akan saya terangkan pada post akan datang, in sha ALLAH).

2. SAIZ PERIUK/ BILANGAN CORONG PERIUK.

Berdasarkan pengalaman kami berniaga, saiz periuk yang sesuai untuk berniaga adalah 20-25 LUBANG, dengan periuk berbentuk segi empat. ini adalah kerana lebih mudah menjual putu piring dalam gandaan 5. Kenapa lebih mudah jual dalam gandaan 5? ini adalah kerana faktor harga dan bentuk periuk.

Faktor harga

Contohnya harga kita jual rm0.60sen sekeping. Jadi 1 bungkus ada 5 keping rm3. 

Kalau rm0.70 sekeping, 1 bungkus 5 keping rm3.50.

kalau rm0.80 sekeping, 1 bungkus 5 keping rm4.

Jadi bila kita jual dalam gandaan 5, kita tak pening nak kena standby duit syiling banyak2 untuk pulang baki. Cuba bayangkan kita jual sekeping rm0.80, untuk set 1 bungkus ada 4 keping. Jadi harga jualan adalah rm3.20 sebungkus. Kalau pelanggan bayar rm4, kita kena selalu standby baki 80sen. 

Faktor bentuk periuk

Untuk periuk putu piring berbentuk petak yang bersaiz 20-25 lubang, setiap baris akan mempunyai 5 biji lubang/corong. Bila kita menjual putu piring dalam gandaan 5, bermakna setiap kali mengukus kita akan dapat menyiapkan 4 ke 5 set putu piring bergantung pada saiz periuk. 



3. SAIZ PIRING/ACUAN 

Salah satu faktor yang mempengaruhi bentuk dan tekstur putu adalah saiz acuan putu. Kebanyakan acuan putu piring yang dijual di pasaran mempunyai diameter yang BESAR dan bentuk yang RATA. Ini menyebabkan bentuk putu yang dihasilkan leper dan rapuh. 

piring
piring di pasaran


Untuk mendapatkan bentuk putu yang cantik dan tidak mudah patah, diameter piring yang sesuai adalah 7.5cm dengan lengkung sedalam 1cm seperti gambar di bawah.

Piring tempah khas

           

4. KUALITI PERIUK

Ini paling PENTING. Periuk yang tak berkualiti bukan sahaja akan merugikan duit anda, malah akan merugikan masa dan paling teruk, perniagaan anda terpaksa ditutup sementara kerana periuk anda rosak. Jadi, macam mana nak periksa kualiti periuk putu piring ni? Mari saya jelaskan.

Cara Sambungan Periuk

Kualiti sesuatu periuk putu piring itu ditentukan oleh cara sambungan pada bahagian-bahagian penting seperti badan periuk, sambungan atas corong dan bahagian batang corong. Pembuatan periuk yang baik menggunakan kaedah kelim untuk menyambungkan dua bahagian yang bertemu sebelum dikuatkan dengan saduran timah/welding. 

Contoh sambungan periuk yang baik


Jika sambungan hanya bergantung pada welding sahaja, maka bahagian-bahagian yang bersambung akan mudah patah dan bocor. Ini kerana periuk putu piring akan mengembang kerana digunakan dalam keadaan suhu dan tekanan yang tinggi ketika memasak dan akan melemahkan tempat sambungan. 

Kebanyakan periuk putu piring yang berada di pasaran adalah buatan KILANG, di mana sambungan dibuat menggunakan welding sahaja. akibatnya, periuk putu tidak tahan lama dan perlu diperbaiki selalu. Walaupun harganya lebih murah berbanding yang ditempah, tetapi untuk jangka panjang ianya tidak berbaloi.

 

Jenis Bahan

Pastikan periuk diperbuat menggunakan stainless steel, kerana ianya lebih kukuh, tidak berkarat dan juga lebih tahan lama. JANGAN membeli periuk yang menggunakan aluminium.

Kemasan Produk

Selain itu, kemasan akhir pada periuk juga penting. Pastikan bahagian luar corong dan piring telah ditumpulkan terlebih dahulu. bahagian hujung piring/corong yang tidak ditumpulkan adalah bergerigi
dan boleh mendatangkan kecederaan.


5. HARGA

Periuk putu piring di pasaran boleh didapati dengan harga serendah rm600 hinggalah setinggi ribuan ringgit untuk saiz 20 lubang. Untuk para usahawan yang ingin serius dalam perniagaan putu piring, saya cadangkan untuk mereka memilih periuk dengan kualiti yang baik walaupun harganya lebih tinggi. Cuba cari periuk dengan kualiti yang baik dengan harga yang berpatutan, jangan pula membeli periuk yang mahal tapi tidak berkualiti.


KESIMPULAN

Sebelum membeli periuk putu piring, periksa dulu jenis bahan, teknik kimpalan, kekemasan produk dan harga yang ditawarkan. Harga yang mahal atau tempahan khas tidak bererti kualiti yang bagus. Ada juga kes pelanggan yang menempah periuk di sebuah kedai besi dengan harga yang tinggi tapi kualiti yang diterima sangat teruk. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, sebelum membeli periuk putu, cuba bertanya kepada peniaga putu senior di mana mereka dapatkan periuk yang mereka guna. Kemudian gunakan tips yang saya tulis untuk nilai kualiti periuk itu.

ANDA JUGA BOLEH MENGHUBUNGI SAYA,  013 2507085 (NIZAM) UNTUK MENEMPAH PERIUK PUTU PIRING. KAMI JUGA MENGADAKAN KURSUS MEMPROSES TEPUNG PUTU PIRING KEPADA USAHAWAN YANG BERMINAT.



No comments:

Post a Comment